Memulakan dengan AI Generatif
Mengenali apa itu AI generatif, perbandingan alat utama, dan teknik asas memberi arahan supaya hasilnya tepat dan boleh diguna pakai.
1.1Apa itu AI generatif
AI generatif (hasil bantuan Large Language Models, LLM - atau model bahasa raya) ialah perisian yang menghasilkan kandungan baharu seperti teks, ringkasan atau imej berdasarkan corak yang dipelajarinya daripada sejumlah besar data. Apabila kita memberikan arahan, ia meramalkan jawapan yang paling munasabah.
Ia tidak memahami maklumat seperti manusia dan ia tidak merujuk pangkalan data rasmi. Oleh sebab itu, hasilnya perlu sentiasa disemak sebelum digunakan.
Sesuai digunakan untuk:
- Mendraf dan menyusun semula teks
- Meringkaskan dokumen yang panjang
- Menukar nada dan format penulisan
- Menterjemah dan membetulkan tatabahasa
- Mencadangkan idea, tajuk dan rangka
Perlu diawasi:
- Boleh memberikan maklumat salah dengan nada yang yakin (halusinasi)
- Tidak tahu maklumat dalaman organisasi melainkan kita berikan
- Tidak sesuai untuk keputusan rasmi tanpa semakan manusia
1.2Membandingkan ChatGPT, Claude dan Gemini
Ketiga-tiga alat ini berfungsi secara serupa, tetapi mempunyai kelebihan tersendiri:
- ChatGPT — serba boleh dan popular. Baik untuk draf umum dan sumbang saran idea.
- Claude — kemas untuk dokumen panjang dan penulisan yang teratur, dengan nada yang lebih semula jadi.
- Gemini — terikat rapat dengan ekosistem Google seperti Gmail dan Docs. Sesuai jika anda sudah menggunakan Google Workspace.
1.3Teknik memberi arahan
Arahan yang baik biasanya mengandungi empat bahagian. Semakin lengkap arahan, semakin tepat hasilnya.

- Konteks — siapa anda dan latar tugas anda.
- Tugas — apa sebenarnya yang anda mahu dihasilkan.
- Format — bentuk hasil, sama ada surat, senarai atau perenggan.
- Nada — rasmi, mesra, ringkas dan sebagainya.
Tulis e-mel peringatan.
Anda pembantu tadbir di Hospital Pengajar UNIMAS. Draf e-mel ringkas kepada semua ketua unit untuk mengingatkan mereka menghantar laporan bulanan sebelum 30 haribulan. Nada sopan dan profesional. Hadkan kepada tiga ayat.
Ringkaskan dokumen ini.
Saya pegawai perancangan hospital. Ringkaskan dokumen pelan strategik ini kepada satu muka surat untuk taklimat pengurusan. Susun dalam tiga bahagian: (1) objektif utama, (2) tiga inisiatif teras, (3) sasaran suku tahunan. Nada formal dan padat.
Menunjukkan struktur Konteks + Tugas + Format + Nada dalam satu arahan.
Saya setiausaha mesyuarat jawatankuasa kualiti. Ringkaskan perenggan di bawah kepada tiga poin utama dalam bentuk senarai. Gunakan nada ringkas dan formal. Teks: [tampal perenggan di sini]
Cuba berikan arahan ini kepada dua alat berbeza, lalu bandingkan hasilnya.
Terangkan perbezaan antara cuti rehat dan cuti tanpa rekod dalam bahasa yang mudah, untuk hebahan kepada kakitangan baharu. Hadkan kepada lima ayat.
1.4Teknik arahan untuk penjanaan imej
Apabila menghasilkan poster, infografik atau bahan visual, arahan perlu menyatakan elemen reka bentuk secara jelas. Gunakan kerangka berikut untuk hasil visual yang lebih tepat.

- Tujuan — mesej utama atau kempen yang hendak disampaikan.
- Elemen visual — subjek, ikon, gambar atau susun atur yang diingini.
- Gaya & warna — palet warna, mood (minimalis, bergambar, profesional).
- Teks — tajuk, poin utama, ayat ajakan bertindak dan maklumat hubungan.
- Format — saiz (A3, A4, digital, Instagram), orientasi dan penonton sasaran.
Buat poster kesihatan.
Saya pegawai promosi kesihatan. Rancang poster A3 untuk kempen kesedaran denggi di klinik kesihatan. Nyatakan: (1) tajuk utama, (2) empat langkah pencegahan dalam bentuk poin berikon, (3) warna hijau dan putih yang menenangkan, (4) ayat ajakan bertindak dan nombor hotline. Nada mesra dan memberangsangkan.
Struktur arahan untuk reka bentuk infografik.
Saya pegawai pendaftaran pesakit. Cadangkan reka bentuk infografik untuk menerangkan prosedur pendaftaran pesakit baharu. Sertakan: (1) lima langkah berurutan dengan tajuk pendek, (2) ikon yang sesuai bagi setiap langkah, (3) palet warna profesional (biru, hijau, putih), (4) jangkaan masa setiap langkah. Format menegak untuk paparan digital di kaunter. Nada jelas dan mudah difahami.
