Modul AI Generatif
Modul 2 dari 5

AI untuk Komunikasi Rutin

Modul ini menumpukan kerja penulisan harian yang berulang khususnya ChatGPT dan Gemini. AI generatif boleh memendekkan masa menyediakan surat, memo dan balasan tanpa menjejaskan ketepatan atau nada rasmi yang dikehendaki.

2.1Menulis dan Membalas Emel

AI boleh membantu menulis dan membalas e-mel dengan pantas sambil mengekalkan nada profesional. Terangkan tujuan, penerima dan mesej utama supaya hasilnya tepat dan sesuai dengan konteks organisasi.

Contoh Arahan

Konteks + Tugas + Format + Nada: hasilnya boleh disemak dan dihantar terus.

Saya pembantu tadbir di Hospital Pengajar UNIMAS. Draf e-mel rasmi kepada semua ketua unit untuk memaklumkan pelantikan Dr. [NAMA] sebagai Pengerusi Jawatankuasa Kualiti berkuat kuasa 1 Julai 2026. Susun dalam format e-mel rasmi: salam pembuka, satu perenggan pengumuman, satu perenggan ucapan tahniah, dan penutup. Nada sopan dan profesional. Hadkan kepada 120 patah perkataan.
Contoh Arahan

Berikan konteks penuh e-mel asal supaya balasan tepat.

Saya penyelia unit sumber manusia. Seorang kakitangan menghantar e-mel memohon cuti rehat dari 20 hingga 22 Jun 2026 atas urusan keluarga. Draf balasan e-mel yang (1) meluluskan permohonan, (2) mengesahkan tarikh, dan (3) mengingatkan beliau menyerahkan borang cuti sebelum berangkat. Nada mesra tetapi profesional. Hadkan kepada empat ayat.
Contoh Arahan

Tampal nota mesyuarat sebenar supaya hasilnya tepat.

Saya setiausaha mesyuarat Jawatankuasa Kualiti. Draf e-mel susulan kepada ahli jawatankuasa berdasarkan nota mesyuarat di bawah. Susun dalam tiga bahagian: (1) tiga keputusan utama dalam bentuk senarai, (2) tindakan susulan dengan pegawai bertanggungjawab, (3) tarikh mesyuarat seterusnya. Nada ringkas dan formal.

Nota mesyuarat: [tampal di sini]

2.2Menyedikan Laporan dan Notis

AI boleh membantu menyediakan laporan ringkas dan notis dalaman dengan cepat. Terangkan siapa anda, tujuan dokumen, penonton sasaran dan perkara utama supaya hasilnya jelas dan kemas.

Gunakan ciri Projects dalam ChatGPT untuk menyimpan arahan tetap, gaya penulisan organisasi dan dokumen rujukan. Dengan Projects, AI akan mengetahui konteks tetap anda, seperti peranan, format rasmi hospital dan contoh laporan lama, setiap kali anda meminta arahan, tanpa perlu menaip semula.

Contoh Arahan

Nyatakan peranan dan data mentah supaya laporan tidak direka-reka.

Saya penyelia unit pengurusan fasiliti. Draf laporan bulanan bagi bulan Mei 2026 berdasarkan data di bawah. Susun dalam empat bahagian: (1) Ringkasan Eksekutif, (2) Tiga pencapaian utama, (3) Dua isu yang sedang ditangani, (4) Cadangan penambahbaikan untuk Jun. Hadkan kepada satu muka surat. Nada formal dan padat.

Data: [tampal data di sini]
Contoh Arahan

Berikan tarikh, tempoh dan hubungan supaya notis lengkap.

Saya pegawai komunikasi hospital. Draf notis dalaman untuk kakitangan dan pesakit berkaitan penutupan kaunter pembayaran pada 14 Jun 2026 dari 8.00 pagi hingga 5.00 petang kerana penyelenggaraan sistem. Susun dengan tajuk "NOTIS PENUTUPAN SEMENTARA", perenggan pengumuman, senarai kaunter alternatif, dan nombor telefon pertanyaan (082-XXX XXX). Nada rasmi dan jelas. Hadkan kepada 100 patah perkataan.
Contoh Arahan

Sasarkan penonton dengan jelas supaya gaya bahasa sesuai.

Saya pegawai keselamatan dan kesihatan pekerjaan. Draf notis keselamatan untuk pekerja kontraktor yang masuk ke kawasan klinikal. Senaraikan lima peraturan wajib dalam bentuk poin bernombor: pemakaian pelitup muka, kebersihan tangan, kawasan larangan, prosedur kecemasan, dan pegawai untuk dihubungi. Gunakan ayat arahan yang ringkas dan tegas. Hadkan kepada setengah muka surat.
TIP. Tampal contoh surat lama anda dan minta AI "ikut gaya dan susunan ini". Hasilnya akan lebih hampir dengan format rasmi organisasi anda.

2.3Melaras nada untuk balasan sensitif dan aduan

Balasan kepada aduan memerlukan nada yang berhati-hati. AI boleh membantu menyusun ayat yang empati dan profesional, tetapi anda yang menentukan kandungan dan janji yang dibuat.

Contoh Arahan

Arahan terakhir mengelakkan AI membuat janji yang tidak boleh ditepati.

Saya pegawai perhubungan pelanggan hospital. Seorang pesakit menghantar aduan bertulis bahawa dia menunggu lebih dua jam di kaunter farmasi pada 10 Jun 2026. Draf balasan rasmi yang (1) mengakui pengalamannya, (2) memohon maaf atas kesulitan, (3) menerangkan secara umum langkah penambahbaikan giliran, dan (4) menjemput beliau menghubungi unit jika berlaku semula. Nada empati dan profesional. Jangan berjanji apa-apa pampasan atau perkara yang tidak dapat dipastikan. Hadkan kepada 150 patah perkataan.
Contoh Arahan

Sertakan tempoh tindakan susulan supaya pengadu rasa diberi perhatian.

Saya penyelia unit penyelenggaraan. Seorang kakitangan menghantar aduan tentang kebocoran air di bilik rehat tingkat 3. Draf balasan e-mel yang (1) memohon maaf atas kesulitan, (2) mengesahkan laporan telah diterima dan dimajukan kepada juruteknik, (3) menyatakan tindakan susulan akan dimaklumkan dalam tempoh 48 jam. Nada empati dan bertanggungjawab. Hadkan kepada lima ayat.
Contoh Arahan

Tegas tetapi profesional apabila pihak luar menyebabkan masalah.

Saya pegawai perolehan hospital. Pembekal memaklumkan penghantaran peralatan perubatan yang sepatutnya tiba pada 18 Jun 2026 ditangguhkan tanpa tarikh baharu. Draf balasan e-mel yang (1) mengesahkan penerimaan makluman, (2) meminta jadual penghantaran baharu secara bertulis dalam tempoh tiga hari bekerja, (3) menegaskan kesan kelewatan terhadap operasi unit pembedahan. Nada profesional dan tegas, bukan agresif. Hadkan kepada satu perenggan.

2.4Menyediakan minit mesyuarat

Daripada nota mentah, AI boleh menyusun minit yang kemas dengan bahagian yang teratur. Anda masih perlu mengesahkan ketepatan keputusan dan tindakan susulan.

Contoh Arahan
Saya setiausaha Jawatankuasa Keselamatan Pesakit. Berdasarkan nota mentah di bawah, susun minit mesyuarat rasmi dengan bahagian: (1) Tarikh, Masa, Tempat, Pengerusi, (2) Kehadiran, (3) Perkara Dibincangkan, (4) Keputusan, (5) Tindakan Susulan dengan pegawai bertanggungjawab dan tarikh siap. Nada rasmi dan padat.

Nota: [tampal nota mentah di sini]
Contoh Arahan
Saya pegawai tadbir unit pentadbiran. Susun semula nota di bawah ke dalam format minit mesyuarat rasmi hospital. Sertakan jadual ringkasan keputusan dengan tiga lajur: Bil, Keputusan, Pegawai Bertanggungjawab. Nada formal.

Nota: [tampal nota di sini]
Contoh Arahan
Saya ketua unit. Draf minit ringkas daripada perbincangan tidak formal di bawah. Susun dalam tiga lajur sahaja: Apa yang diputuskan, Siapa bertanggungjawab, Tarikh siap. Hadkan kepada satu muka surat. Nada ringkas.

Perbincangan: [tampal teks di sini]

2.5Menghasilkan dokumen formal lain

Contoh Arahan
Saya pegawai kesihatan pekerjaan hospital. Draf rangka cadangan ringkas untuk program kesedaran kesihatan mental dalam kalangan kakitangan klinikal. Susun dalam lima bahagian: (1) Latar Belakang, (2) Objektif, (3) Kumpulan Sasaran, (4) Aktiviti Cadangan (3 aktiviti), (5) Keperluan Asas (tempat, kewangan, sumber manusia). Nada formal dan ringkas. Hadkan kepada dua muka surat.
Contoh Arahan
Saya pengarah hospital. Draf memo dalaman kepada semua ketua unit berkaitan pelaksanaan sistem temujanji baharu berkuat kuasa 1 Ogos 2026. Susun dalam format memo rasmi: tajuk, rujukan, perenggan pengumuman, tiga langkah persediaan dalam bentuk senarai, dan maklumat hubungan pasukan sokongan ICT (ext. 1234). Nada arahan yang profesional.
Contoh Arahan
Saya pegawai perhubungan korporat hospital. Draf surat rasmi kepada Pejabat Kesihatan Daerah berkaitan cadangan kerjasama program saringan kesihatan komuniti pada Oktober 2026. Susun dalam format surat rasmi penuh: kepala surat, rujukan, tajuk, tiga perenggan (tujuan, butiran cadangan, jemputan perbincangan), dan nama pegawai hubungan. Nada rasmi dan sopan.

2.6Mereka bentuk komunikasi visual

AI juga boleh membantu merancang dan menyusun komunikasi visual seperti poster, infografik dan slaid taklimat. Terangkan peranan anda, tujuan, penonton sasaran dan gaya yang dikehendaki supaya hasilnya relevan dan kemas.

Contoh Arahan
Saya pegawai promosi kesihatan. Rancangkan satu poster kesedaran tentang kepentingan saringan tekanan darah untuk kakitangan hospital berusia 40 tahun ke atas. Berikan: (1) tajuk utama yang menarik, (2) tiga poin penting dengan cadangan ikon, (3) palet warna (biru dan putih, selaras dengan jenama hospital), (4) cadangan saiz A3 untuk papan notis, dan (5) ayat ajakan bertindak. Nada mesra dan memberangsangkan.
Contoh Arahan
Saya pegawai pendaftaran pesakit. Cadangkan reka bentuk infografik untuk menerangkan prosedur pendaftaran pesakit baharu. Sertakan: (1) lima langkah berurutan dengan tajuk pendek, (2) ikon yang sesuai bagi setiap langkah, (3) palet warna profesional (biru, hijau, putih), (4) jangkaan masa setiap langkah. Format menegak untuk paparan digital di kaunter. Nada jelas dan mudah difahami.
Contoh Arahan
Saya jurulatih induksi kakitangan baharu. Rancangkan susun atur 10 slaid taklimat keselamatan untuk kakitangan klinikal baharu. Bagi setiap slaid, nyatakan: (1) tajuk slaid, (2) tiga poin utama dalam bentuk senarai, (3) cadangan gambar atau ikon. Gaya minimalis, fon mudah dibaca, ruang putih yang banyak. Nada mesra tetapi profesional.
Contoh Arahan

Penjanaan siri carousel untuk media sosial.

Buatkan satu siri carousel bertajuk "5 Tip Kekal Sihat". Hasilkan sebanyak 6 imej secara berasingan yang terdiri daripada 1 muka depan dan 5 slaid kandungan (1 tip bagi setiap slaid). Gunakan reka bentuk yang konsisten dari segi warna, susun atur, jenis fon, ikon dan gaya ilustrasi. Pastikan reka bentuk moden, bersih, profesional, ceria serta mudah dibaca dan sesuai untuk perkongsian di media sosial.

2.7Membina dashboard daripada data yang dimuat naik

ChatGPT (Data Analyst) dan Gemini boleh membaca fail Excel atau CSV yang anda muat naik, meringkaskannya, dan menjana carta serta dashboard interaktif. Anda tidak perlu tahu formula atau pivot table. Cukup terangkan data anda dan apa yang anda mahu lihat.

  • Langkah 1: Bersihkan fail Excel. Pastikan baris pertama adalah tajuk lajur, tiada sel bergabung (merged cells), dan satu sheet bagi satu jadual.
  • Langkah 2: Muat naik fail ke ChatGPT (klik ikon klip kertas) atau Gemini. Nyatakan peranan anda, maksud setiap lajur, dan tujuan analisis.
  • Langkah 3: Minta AI meringkaskan data dahulu (jumlah baris, lajur, nilai unik, julat tarikh) untuk pastikan ia memahami data dengan betul.
  • Langkah 4: Minta carta atau jadual ringkasan satu demi satu (KPI utama → trend → perbandingan kategori → outlier).
  • Langkah 5: Minta hasil akhir dieksport sebagai fail Excel berformat atau dashboard HTML yang boleh dibuka di pelayar.
Contoh Arahan

Mula dengan ringkasan data sebelum minta carta. Elak AI tersilap tafsir lajur.

Saya pegawai data di unit kualiti hospital. Saya muat naik fail Excel mengandungi rekod aduan pesakit bagi tahun 2026. Lajur termasuk: Tarikh, Jabatan, Kategori Aduan, Status, Tempoh Selesai (hari). Sebelum buat sebarang carta, sila: (1) sahkan bilangan rekod dan julat tarikh, (2) senaraikan nilai unik bagi lajur Jabatan dan Kategori Aduan, (3) kenal pasti sebarang sel kosong atau data ganjil. Berhenti di sini dan tunggu arahan saya sebelum teruskan.
Contoh Arahan

Senaraikan KPI dan jenis carta yang khusus, bukan sekadar 'buatkan dashboard'.

Berdasarkan fail aduan tadi, sediakan dashboard ringkasan dengan elemen berikut: (1) KPI kad: jumlah aduan, % selesai, purata tempoh selesai (hari), (2) carta bar mendatar bagi 5 jabatan dengan aduan tertinggi, (3) carta garis: trend aduan bulanan sepanjang 2026, (4) carta donut: pecahan mengikut Kategori Aduan, (5) jadual: 10 aduan terlama yang masih berstatus 'Belum Selesai'. Paparkan dalam satu fail HTML interaktif menggunakan Plotly. Gunakan palet warna profesional (biru tua, kelabu, oren untuk amaran).
Contoh Arahan

Eksport ke Excel berformat untuk dikongsi dengan pengurusan.

Daripada data yang sama, hasilkan satu fail Excel baharu bernama 'Laporan_Aduan_2026.xlsx' dengan tiga sheet: (1) 'Ringkasan': jadual KPI dan carta bar jabatan, (2) 'Trend Bulanan': pivot table bulan lawan jabatan dengan conditional formatting (warna merah untuk nilai tinggi), (3) 'Senarai Tertunggak': aduan belum selesai disusun mengikut tempoh terlama. Pastikan tajuk berwarna biru tua, nombor diformat dengan pemisah ribuan, dan baris pertama dibekukan. Sediakan pautan muat turun.
Contoh Arahan

Analisis lanjut: minta AI cari corak yang anda mungkin terlepas.

Berdasarkan data aduan tadi, jalankan analisis berikut dan paparkan dapatan dalam bentuk poin ringkas: (1) jabatan mana yang menunjukkan trend meningkat berbanding suku tahun sebelumnya, (2) kategori aduan yang mempunyai purata tempoh selesai paling lama, (3) hari dalam seminggu yang paling banyak aduan diterima, (4) tiga cadangan tindakan penambahbaikan berdasarkan corak yang ditemui. Tandakan dengan jelas mana dapatan berdasarkan data dan mana cadangan tafsiran.
Dataset Sampel

Dataset sampel mengandungi 150 rekod pelajar dengan maklumat demografi, skor pembelajaran kendiri (SRL), CGPA, jam kredit, dan skor motivasi. Muat naik fail ini ke ChatGPT atau Gemini untuk mencuba prompt dashboard di atas.

GenderYear_of_StudyField_of_StudySRL_ScoreSRL_LevelCGPACredit_HoursMotivate1Motivate2Motivate3Motivate4Motivate5
FemaleYear 2Non-STEM58Moderate2.962122222
MaleYear 4STEM64High2.841933333
MaleYear 3Non-STEM60Moderate2.371733434
MaleYear 3STEM58Moderate2.731523222
MaleYear 1STEM55Moderate2.331823323
FemaleYear 1Non-STEM61Moderate3.161745544
FemaleYear 1STEM55Moderate2.931643334
FemaleYear 1Non-STEM72High2.861534434
MaleYear 4Non-STEM78High3.301934434
MaleYear 1Non-STEM53Low2.891433433

Memaparkan 10 baris pertama daripada dataset penuh.

Muat turun dataset sampel
TIP. 3 Perkara Penting Apabila Memuat Naik Data ke AI 1. Buang maklumat peribadi atau sensitif. Jangan muat naik nama, nombor kad pengenalan, nombor telefon, alamat, rekod perubatan atau data sulit organisasi tanpa kebenaran dan langkah perlindungan yang sewajarnya. 2. Semak ketepatan dan format data. Pastikan data bersih, lengkap dan dilabel dengan jelas. Data yang tidak tersusun boleh menyebabkan analisis tidak tepat atau dapatan yang mengelirukan. 3. Fahami bahawa hasil AI masih perlu disahkan. AI boleh membuat ringkasan, analisis dan mengenal pasti pola, tetapi jawapannya mungkin mengandungi ralat. Sentiasa sahkan dapatan penting dengan merujuk dataset asal atau sumber yang dipercayai.